Monday, April 26, 2010

Manusia yang Suka Kelentong

Oleh: Ashadi Zain

Begitu ramainya umat manusia,
Ada yang baik bersifat mulia,
Ada yang jahat menipu sentiasa,
Lidah bercabang, kelentong perkara biasa.

Depan orang, dia suka bermuka-muka,
Konon baik, walhal macam puaka,
Menipu orang di sini sana,
Orang marah, dia pula yang tarik muka.

Kita cuba sedaya-upaya,
Amar makruf menjadi terasnya,
Nahi mungkar dilakukan sentiasa,
Moga kita diselamatkanNya.

Sunday, April 18, 2010

Bencana Melanda, Kita Buat Dek Sahaja

Oleh: Ashadi Zain

Di seluruh dunia bencana melanda,
Gempa dan tsunami tiada taranya,
Tapi kita ni masih minat buat dosa,
Macamlah dapat hidup selama-lamanya.

Bencana dapat berlaku di mana-mana,
Tak kira tempat dan juga masa,
Mengapakah kita buat dek sahaja?
Asyik mengigau, berdengkur ternganga.

Kita cuba sedaya-upaya,
Amar makruf menjadi terasnya,
Nahi mungkar dilakukan sentiasa,
Moga kita diselamatkanNya.

Monday, April 12, 2010

Amboi, Pilihanraya Kecil Datang Lagi!

Oleh: Ashadi Zain

Pilihanraya kecil datang lagi,
Muncullah calon menabur janji,
Menabur janji biarlah hati-hati,
Jangan janji akhirnya tinggal tahi gigi.

Rakyat mahukan kebajikan terjaga,
Tak nak jadi papa kedana,
Jangan pula hanya YB yang kaya,
Tersengih-sengih sampai ke telinga.

Semasa kempen, YB memang petah,
Hati hamba rakyat terasa indah,
Kalau menang, jangan YB buat tak endah,
Perut buncit, kenyang makan rasuah.

Semasa kempen, YB sentiasa ada,
Siang malam, asyik tengok mukanya,
Jangan lepas kempen, YB pun tak ada.
‘Sibuk’ bukan main, mengalahkan raja.

Rakyat memilih calon yang berkualiti,
Rakyat memilih calon yang sedar diri,
Impian yang baik, biarlah jadi realiti,
Rakyat dan pemimpin bersatu hati.

Friday, April 9, 2010

Alamak, Bosku Macam Hitler!

Oleh: Ashadi Zain

Bos melihat ke sana sini,
Otaknya penuh dengan nama pak menteri,
Siang malam mandi tak dipeduli,
Yang penting duit datang berguni-guni.

Pagi-pagi, sudah mencemuh,
Si pemandu terus terdiam mengeluh,
Bos ini jenis yang kecoh,
Dapat “Tan Sri”, satu dunia dia heboh.

Kesesakan pagi luas terbentang,
Bos di belakang, matanya terbuntang,
Terlihat perempuan cantik, matanya memandang,
Malangnya, perempuan cantik terus lari lintang-pukang.

Hati bos sakit, memaki kenderaan,
Semua ternganga, termasuklah sang syaitan,
Pemandu di depan, air liurnya ditelan,
Terasa nak pulang ke kampung halaman.

Di dalam kereta, majalah dibaca,
Pemandu menyangka bos membaca berita niaga,
Sayang sekali, pemandu tak menduga,
Rupa-rupanya, bos mencuci mata.

Alkisah YB Berlaga Lutut

Oleh: Ashadi Zain

Tersebutlah kisah dua orang wakil rakyat,
Yang suka makan sepinggan sotong sumbat,
Untuk rakyat, mereka sanggup kerja kuat,
Tiba pilihanraya, mereka menang dengan hebat.

YB pertama, Haru namanya,
Hobinya adalah membaca sastera,
YB kedua, Biru namanya,
Hobinya pula adalah mengembara.

Selepas pilihanraya, tibalah masa untuk bekerja,
Haru dan Biru bertugas semampunya,
Suatu hari, maka bertemulah keduanya,
Tanpa disangka, lutut mereka berlaga.

Tatkala lutut mereka berlaga,
Mulut ternganga, emosi menyinga,
Ego masing-masing dah naik ke kepala,
Muka cengih macam beruk tua.

Sejak insiden lutut mereka berlaga,
Haru dan Biru tak bertegur sapa,
Rakyat yang tengok menggelengkan kepala,
“Fe’el macam duda putus cinta”.

Kaki Bodek Kena Cekik!

Oleh: Ashadi Zain

Alkisah terdapat seorang ketua,
Orang memanggilnya bos sahaja,
Dia pemimpin syarikat baja,
Syarikatnya terkenal di seluruh negara.

Bos dibodek oleh bujang lapuk,
Bos diampu hingga mengantuk,
Tengok mukanya orang nak ketuk,
Tersengih-sengih macam beruk.

Suatu pagi, bos datang ke pejabat,
Tiba-tiba, dia didatangi pelawat,
Si Bodek kata bos nampak hebat,
Padahal muka bos penuh jeragat.

Selepas Si Bodek berkata begitu,
Bos gembira tersenyum selalu,
Semua pekerja diam terpaku,
Kerana bos belai jerawat batu.

Pekerja yang ikhlas ingin beritahu,
Tentang jeragat yang tumbuh itu,
Tapi Si Bodek datang melulu,
“Perhatian bos hanya untukku!”.

Alamak, Tikus pun Nak Masuk Politik?

Oleh: Ashadi Zain

Ini kisah si ahli politik,
Siang malam tergedik-gedik,
Demi jawatan sanggup berpekik,
Biarlah dirinya yang akhirnya dilantik.

Kawan-kawan memanggilnya Tikus,
Nafsunya mak oii… amatlah rakus,
Apabila sedikit cabaran tercetus,
Mulalah dia tunduk menikus.

Musuh Tikus baik orangnya,
Politik bersih menjadi amalannya,
Gelarannya “Pelopor”, hebat ideanya,
Ingin memajukan nusa dan bangsa.

Bagi Tikus, rasuahlah kawannya,
Makan duit rakyat, dialah juaranya,
Sambil berdiri memakai celana,
Tikus menari tak ingat dunia.

Pelopor cuba membanteras rasuah,
Orang benci dia tak kisah,
Dia memang politikus bermaruah,
Dia tak mahu jiwanya terjajah.